Pada 25 Januari 2019 (Jumaat)
bertempat di Surau 'Isomuddin SKBJ telah diadakan majlis Pelancaran NILAM &
Program Mentor Mentee 2019. Majlis yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pusat
Sumber Sekolah adalah bertujuan menggalakan murid-murid untuk lebih giat
menambahkan ilmu dengan aktiviti membaca.
Secara jujurnya, program galakan membaca dalam kalangan murid-murid di sekolah telah pun dilaksanakan semenjak tahun 1999 lagi. Ia adalah usaha murni Kementerian Pelajaran Malaysia ketika itu. Program yang dimaksudkan adalah program NILAM. NILAM membawa maksud ‘ Nadi Ilmu Amalan Membaca ‘. Ia mencakupi semua aktiviti galakan membaca yang dijalankan di sekolah yang melibatkan penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun yang diakhiri dengan pengiktirafan yang bersesuaian. Program ini telah mula dilaksanakan dengan rasminya pada tahun 1999 bagi murid tahun satu di sekolah rendah dan tingkatan satu atau peralihan di sekolah menengah, iaitu melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia Bil 13/1998 : Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998.
Matlamat dan objektif NILAM
adalah untuk membina tabiat membaca dalam kalangan murid serta menggalakkan
mereka agar terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat
membaca. Pelaksanaan program NILAM ini memerlukan penglibatan secara menyeluruh
daripada warga sekolah sama ada murid-murid mahupun guru-guru. Justeru itu dengan adanya mentor diharap para mentee akan lebih terdorong untuk membaca lebih banyak buku lagi.
Untuk makluman semua, terdapat tiga komponen dalam
program NILAM iaitu membaca dan merekod bahan bacaan, mengesahkan rekod dan
mengumpul data serta memberi pengiktirafan dan ganjaran. Komponen membaca
dan merekod bahan bacaan adalah melibatkan murid sementara komponen
mengesahkan rekod dan mengumpul data serta memberi pengiktirafan dan ganjaran
adalah sepenuhnya di bawah tanggungjawab guru. Berikut adalah momen-momen sepanjang berlangsungnya majlis pelancaran yang telah di sempurnakan oleh Tuan Guru Besar, En Joffery bin Maulud.