Laporan Lawatan
Bermaklumat ke Melaka Bandar Raya Bersejarah.
Pada 30 Jun 2018, seramai 33 orang murid tahun 6 telah
mengikuti lawatan bermaklumat ke Melaka Bandar Raya Bersejarah. Lawatan ini
turut diiringi oleh seramai 9 orang guru dan seorang kakitangan sokongan
sekolah. Sebelum lawatan ini diadakan guru besar, En Basri bin Haji Yusof telah
memberi sedikit taklimat dan pesanan yang perlu dipatuhi oleh semua murid dan guru
yang mengikuti lawatan ini.
Pada hari kejadian, murid-murid telah berkumpul di tapak
perhimpunan sekolah seawal jam 7.00
pagi. Mereka telah beratur mengikut kumpulan yang telah ditetapkan. Taklimat
mengenai perjalanan lawatan telah diberikan oleh En Azri bin Nadzir selaku
penyelaras lawatan pada kali ini. Sebelum bertolak semua murid telah diberikan
sarapan terlebih dahulu. Murid telah menaiki bas yang disewa khas seawal jam 8.00 pagi untuk menuju ke destinasi
yang pertama iaitu Taman Mini Malaysia @Asean yang terletak di Ayer keroh.
Di sana murid –murid didedahkan dengan seni
bina tradisional. Terdapat pelbagai rumah-rumah di mana mewakili setiap negeri
di Malaysia. Setiap rumah tersebut juga mewakili gaya seni bina 13 buah negeri di
Malaysia dan dilengkapi dengan pelbagai barangan, seni dan kraf tangan yang
menggambarkan budaya setiap negeri masing-masing
Di dalam setiap rumah, boleh juga melihat sendiri pelbagai jenis kraf tangan tulen yang halus buatannya berasal dari setiap negeri atau daerah. Patung-patung yang menyerupai kehidupan sebenar ditempatkan dalam setiap rumah, untuk menjadikannya kelihatan menarik, pakaian tradisional turut dipakaikan pada patung- patung hiasan yang terdapat di rumah- rumah tersebut. Murid-murid juga berkesempatan untuk menonton persembahan kebudayaan tarian joget Melaka yang telah dipersembahkan di pentas utama.
Selepas itu, lawatan diteruskan ke Perigi
Hang Tuah yang terletak di Duyung. Di sana murid-murid didedahkan dengan
sejarah perigi tersebut dan cerita lagenda Hang Tuah dan Negeri Melaka. Kemudian, lawatan beralih arah ke Masjid
Selat yang terletak di Banda Hilir. Murid-murid diberi makan dan berpeluang
solat zuhur berjemaah bersama dengan makmum yang hadir. Di sana juga, murid
berpeluang untuk merasai keindahan angin laut yang mendamaikan. Masjid selat
yang juga dikenali sebagai masjid terapung sememangnya terkenal dan merupakan
salah satu destinasi pelancongan untuk negeri Melaka.
Selepas selesai makan dan solat zuhur, murid-murid dibawa
pula menaiki bukit ST Paul. Murid-murid
berpeluang untuk mengambil gambar kenang-kenangan di menara A Famosa sebelum
mendaki sendiri bukit yang terletak bersebelahan dengan menara tersebut.
Selepas turun daripada bukit tersebut, murid-murid bergerak pula ke Menara
Taming Sari di mana mereka berpeluang untuk menaiki menara setinggi 110 meter
tersebut.
Sebelum pulang ke Bukit Jalor, murid –murid singgah ke
tempat membeli belah The Shore Oceanarium , Murid-murid berpeluang untuk
menaiki ke tingkat 42 di mana pemandangan seluruh Bandar Melaka dapat dilihat
dengan jelas. Tepat jam 6.00 petang, rombongan bergerak pulang ke Bukit Jalor
dan sampai di perkarangan sekolah pada jam 7.15 petang. sesungguhnya lawatan
ini sangat bermakna untuk murid-murid tahun 6 sebagai satu persediaan untuk
mereka menghadapi peperiksaan UPSR.
No comments :
Post a Comment