SK Felda Bukit Jalor

Jalan Muhibbah, 73200 Gemencheh, Negeri Sembilan Darul Khusus

03 May 2020

MINGGU PERTAMA PKPB UNTUK SUSUN, RANCANG NORMAL BAHARU-DR NOOR HISHAM

KUALA LUMPUR: Minggu pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan bermula Isnin ini perlu digunakan majikan dan pekerja untuk menyusun strategi, merancang dan melaksanakan perubahan baharu di tempat kerja masing-masing.
        Justeru, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tidak wujud keperluan bagi mana-mana sektor untuk memulakan perkhidmatan sepenuhnya, sebaliknya perlu menumpukan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam sektor masing-masing dan normal baharu di tempat kerja.
       "Majikan perlu memastikan pekerja mematuhi jarak selamat terutama di ruang yang sempit. Anda mungkin perlu menyusun semula ruang pejabat untuk memberikan lebih ruang dan selamat, kerap melakukan sanitasi di kawasan tumpuan seperti pantri dan surau, selain mengehadkan jumlah orang berjemaah dalam satu-satu masa bagi memastikan penjarakan sosial yang selamat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
       Dr Noor Hisham berkata, garis panduan yang disediakan Kementerian Kesihatan jelas, justeru kini adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk melaksanakannya.
       "Ini adalah tanggungjawab sosial kita dan kita memerlukan disiplin dan pematuhan sosial untuk melaksanakan SOP ini. Kita mesti membiasakan diri dengan normal baharu ini. Dunia sudah tidak sama lagi. Kita mesti belajar bahawa tindakan setiap individu memberi kesan terhadap bagaimana kita menguruskan COVID-19 dalam masyarakat. Kita perlu membiasakan dan menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam hidup," katanya.
       Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas Kementerian Kesihatan yang bekerja sebagai satu pasukan dalam memerangi COVID-19. Walaupun Malaysia berjaya mengelakkan negara terjebak dalam kancah bencana yang lebih besar seperti yang dialami banyak negara lain, namun Dr Noor Hisham menegaskan peperangan masih belum berakhir dan minggu depan akan menyaksikan negara berjuang dalam medan peperangan baharu dengan strategi baharu.
         "Kita akan hanya memenangi peperangan ini jika kita semua rakyat Malaysia bersama-sama melaksanakan tanggungjawab sosial dengan mematuhi SOP dan garis panduan yang ditetapkan kerajaan. Mari kita saling membantu untuk memastikan mereka yang kita sayangi terutama yang berisiko selamat. Mari kita pastikan Malaysia selamat dan berjaya di akhir peperangan menentang musuh tidak kelihatan ini," katanya.
Sumber : bharian.com.my

No comments :

Post a Comment