Perdana Menteri Muhyiddin Yassin
mengumumkan bahawa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan
dilanjutkan selama empat minggu lagi sehingga 9 Jun ini. Jelasnya, keputusan
itu dibuat setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan
Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Walaupun kita telah mencapai banyak perkembangan positif dalam usaha
memerangi wabak COVID 19, usaha kita masih belum berjaya sepenuhnya.
Langkah-langkah masih perlu diambil untuk memerangi wabak ini. Dari segi
pandangan umum juga saya dapati rata-rata rakyat mahukan supaya kerajaan terus
mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memerangi wabak ini. Justeru,
atas nasihat KKM dan MKN, saya ingin mengumumkan PKPB yang berkuat kuasa
sehingga 12 Mei 2020, akan disambung lagi sehingga 9 Jun 2020, iaitu selama 4
minggu lagi," katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung
hari ini.
Tambah
Muhyiddin, semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang
dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuat kuasa sehingga
9 Jun.
"Sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor yang
dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari masa ke semasa," katanya.
Muhyiddin berkata, pelaksanaan PKPB yang bermula pada 4 Mei yang lalu
berjalan dengan lancar dan teratur.
"Tidak berlaku kesesakan luar jangka di stesen-stesen pengangkutan
awam, di dalam LRT, MRT, bas, restoran dan lain-lain. Nampaknya, rata-rata
rakyat mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.
Kerajaan mengenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu
bagi menangani penularan Covid-19, yang menyaksikan sektor ekonomi terhenti dan
orang ramai tidak dibenarkan meninggalkan rumah tanpa alasan munasabah.
Susulan
penurunan kes Covid-19 baru-baru ini, kerajaan kemudian menguatkuasakan PKPB
pada 4 Mei lalu, yang membenarkan hampir semua sektor ekonomi dibuka
semula. Dalam ucapannya hari ini, Muhyiddin juga berkongsi tentang kajian
yang dilakukan oleh sebuah agensi penyelidikan yang berpangkalan di Singapura.
Kata Muhyiddin, berdasarkan kajian agensi itu, Malaysia berada di tangga
ke empat daripada 105 buah negara dari segi tahap kepuasan hati rakyat terhadap
usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.
"Jadi, sekali lagi saya nak mengucapkan terima kasih dan tahniah
kepada semua petugas barisan hadapan kita yang telah banyak berkorban sepanjang
tempoh dua tiga bulan ini untuk memastikan semua rakyat Malaysia terselamat
daripada wabak Covid-19. Saya juga nak merakamkan ucapan terima kasih
kepada saudara-saudari sekalian seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke
Sabah yang sentiasa berdisiplin mematuhi arahan PKP dan PKPB sehingga
memudahkan para petugas barisan hadapan kita menangani krisis ini,"
katanya.
Top Ten Hotels in Harrah's Philadelphia - JTM Hub
ReplyDeleteHarrah's Philadelphia: Best 익산 출장샵 Casino in Chester, PA - 2021. Hotel: The Best Hotel Amenities 대전광역 출장샵 and Entertainment in 계룡 출장샵 Chester, PA. 출장샵 More 시흥 출장마사지