KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis maut selepas sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu pemandu mabuk, merempuh sekatan jalan raya (SJR) Op COVID-19 di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 2.11 pagi itu, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan. Susulan rempuhan yang berlaku itu, kenderaan pacuan empat roda terbabit dipercayai turut terbalik dan menghempap mangsa.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata ketika kejadian mangsa bersama beberapa anggota lain sedang bertugas menjaga kawalan SJR berkenaan. Katanya, nahas berlaku apabila sebuah Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun merempuh anggota terbabit dan kenderaan polis yang berada di lokasi.
"Laporan berhubung kejadian itu sudah dibuat oleh penyelia SJR berkenaan, namun pemandu Hilux masih belum berbuat demikian. Siasatan nahas itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya menerusi satu kenyataan, pagi ini.
Allahyarham yang berasal dari Ipoh, Perak adalah anggota di Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang. Jenazah mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk urusan bedah siasat. Suspek yang cedera dalam kejadian itu turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan.
Dalam pada itu, berita dan gambar kemalangan yang menimpa anggota polis terbabit mula viral di media sosial dan sebahagian netizen kesal dengan tindakan segelintir individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengambil kesempatan selepas perintah itu dilonggarkan oleh kerajaan.
Selain itu, netizen turut meminta hukuman berat dikenakan terhadap suspek sekiranya benar pemandu berkenaan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan berlaku kemalangan maut. Tragedi menimpa anggota polis yang bertugas itu turut dikongsi Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Anuar Musa menerusi twitternya.
Katanya, adalah sesuatu yang amat mendukacitakan apabila masih ada yang memandu dan membahayakan orang lain.
"Apa lagi frontliners (petugas barisan hadapan) yang berkorban untuk kita semua (dalam perang melawan jangkitan COVID-19)," katanya ketika berkongsi kesedihan menimpa anggota polis berkenaan.
Sumber : bharian.com.my
No comments :
Post a Comment