SK Felda Bukit Jalor

Jalan Muhibbah, 73200 Gemencheh, Negeri Sembilan Darul Khusus

03 May 2020

BAKUL MAKANAN UNTUK 112,638 PENEROKA FELDA SELURUH NEGARA

KUANTAN, 2 Mei 2020 - Akhirnya seramai 112,638 peneroka daripada 11 wilayah Felda di seluruh negara dapat menarik nafas lega apabila menerima bantuan barangan asas daripada Felda dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) Fasa 4 ini.
      Berdasarkan surat bantuan barangan makanan asas kepada semua peneroka yang dikeluarkan Felda pada 30 April 2020 menegaskan Felda bersetuju menyediakan bantuan kepada 112,638 peneroka daripada 317 rancangan di seluruh negara. Semua penerima akan menerima barangan keperluan yang terdiri daripada beras, gula, minyak masak, susu pekat manis, kurma, biskut krim dan mi segera. Set barangan tersebut akan disediakan oleh Koperasi Permodalan Felda Trading Sdn Bhd melalui Kedai D’Mart yang akan dihantar ke Pusat Makanan Komuniti Rancangan (PMKR) untuk diagihkan kepada peneroka.
     Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Muhammad Fadzl Hasan dalam kenyataan hari ini berkata, MBFM mengucapakan terima kasih kepada Kerajaan, Felda dan semua pihak di peringkat Kebangsaan, Wilayah serta Rancangan yang telah bermurah hati memberikan sumbangan sama ada dalam bentuk barangan, kewangan, tenaga, masa dan sebagainya kepada warga Felda di negara ini.
    Sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat memberi kelegaan kepada warga Felda termasuk di negeri Pahang. Pelaksanaan PKP turut memberi kesan kepada peneroka dimana kegiatan perladangan seperti sawit dan getah turut terjejas selain peneroka tidak dapat menjana pendapatan sampingan. Sumbangan ini juga dapat digunakan oleh peneroka di bulan Ramadan yang mulia ini.
        Baru-baru ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Sri Mustapa bin Mohamed telah mengadakan perbincangan bersama Timbalan Menteri Kewangan II, YB Tuan Mohd Shahar bin Abdullah dan barisan kepimpinan Felda di Putrajaya bagi menyelesaikan beberapa perkara demi kebaikan masa hadapan peneroka dan generasi Felda di negara ini.
         Pemberian bakul makanan daripada Felda membuktikan agensi itu dan Kerajaan terus mengambil berat warga Felda terutamanya dalam tempoh PKP ini. Warga felda seluruh negara harus bersyukur dan berterima kasih dengan bantuan yang diterima sebagai tanda ingatan Felda dan Kerajaan buat mereka.
Disediakan : Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP)

Sumber : FB PahangStory/ MBFM

No comments :

Post a Comment