SK Felda Bukit Jalor

Jalan Muhibbah, 73200 Gemencheh, Negeri Sembilan Darul Khusus

02 May 2020

COVID-19: Lihat pembatalan UPSR, PT3 secara positif (17 April 2020)

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan membatalkan dua peperiksaan awam tahun ini seharusnya dilihat secara menyeluruh, terutama bagi menggalakkan dan meneruskan tumpuan pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran (PdPc).
Dua peperiksaan itu adalah Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin, berkata PdP penting untuk memastikan proses pembelajaran dan penerapan ilmu pelajar berterusan, walaupun mereka tidak ke sekolah kerana krisis penularan wabak COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia.
“Dalam konteks persediaan ilmu pelajar, sama ada di rumah atau tidak, ada peperiksaan atau tidak, ini sebahagian daripada proses pembelajaran yang mesti dilakukan dan diterima mereka.
"Kita belajar bukan hanya kerana menduduki peperiksaan, kita belajar kerana ilmu pengetahuan. Jadi proses pembelajaran untuk pelajar akan berterusan walaupun tiada peperiksaan dan di rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi libat urus bersama Pengarang Pendidikan di Putrajaya, semalam.
Ditanya berhubung keputusan kerajaan membatalkan dua peperiksaan terbabit akan menimbulkan beberapa persepsi termasuk rasa kurang senang dalam kalangan ibu bapa, Radzi menegaskan, keselamatan pelajar menjadi keutamaan.
"Ini bukan persepsi. Pertama sekali adalah konteks senario sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini pertama kali berlaku dalam sejarah.
"Dalam konteks ini (penularan COVID-19), keselamatan pelajar pastinya menjadi keutamaan. Keputusan kerajaan membatalkan UPSR dan PT3 berasaskan kepentingan untuk memastikan keselamatan anak-anak,” katanya.
Radzi berkata, bagi tahun ini, terdapat seramai lebih 450,000 calon UPSR dan kira-kira 440,000 calon PT3, justeru jika kerajaan mendedahkan hampir satu juta calon terbabit ke sekolah bagi menduduki peperiksaan berkenaan, pastinya mereka berdepan risiko COVID-19, sekali gus menunjukkan satu keputusan yang tidak bertanggungjawab.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tidak timbul isu pembatalan UPSR dan PT3 boleh menyebabkan masalah motivasi dalam kalangan pelajar.
“Saya merasakan apabila tidak ada peperiksaan, ini peluang untuk ibu bapa dan guru memberi ruang kepada anak-anak belajar kerana sayangkan ilmu itu.
"Jika kita lihat, banyak negara di dunia ini juga tiada peperiksaan awam di peringkat rendah tetapi meneruskan PdP," katanya.
Sumber : bharian.com.my

No comments :

Post a Comment