SK Felda Bukit Jalor

Jalan Muhibbah, 73200 Gemencheh, Negeri Sembilan Darul Khusus

02 May 2020

PENJAWAT AWAM BERTUGAS DALAM NORMA BAHARU MULAI ISNIN -DATUK SERI MOHD ZUKI ALI

KUALA LUMPUR: Mulai Isnin ini, penjawat awam dikehendaki bertugas dalam normal baharu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, berkata ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan pembukaan sektor ekonomi dan awam bermula 4 Mei ini.

Justeru, beliau mengarahkan ketua jabatan mengambil langkah proaktif dan efektif bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang terbaik kepada rakyat dengan mengutamakan aspek keselamatan serta kebajikan awam mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"SOP itu antaranya memastikan keberadaan di pejabat kepada pegawai yang perlu.

"Penggiliran pekerja selain melaksanakan waktu anjal terutama mereka yang mempunyai kesulitan bagi penjagaan anak di rumah.

"Mesyuarat digalakkan diadakan secara maya melalui medium yang selamat dan terjamin dari segi kerahsiaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhyiddin ketika menyampaikan Perutusan Khas sempena Hari Pekerja semalam berkata, kerajaan akan melaksanakan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial mulai Isnin ini.

Ia susulan kerajaan menyedari negara kerugian RM2.4 bilion sehari sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu yang dilanjut hingga 12 Mei ini.

Mohd Zuki berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan garis panduan mengenai SOP berkenaan dalam masa terdekat.

"PKPB dan semua arahan dikeluarkan pihak berkuasa mesti dipatuhi. Elemen protokol kesihatan dan keselamatan di pejabat perlu mematuhi penjarakan sosial serta arahan semasa Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Sumber : bharian.com.my

No comments :

Post a Comment